KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin selesai disembahyangkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta selepas solat asar.
Lebih 300 jemaah hadir menunaikan solat jenazah yang diimamkan oleh anak saudara Allahyarham, Amir Imran.
Selain keluarga Allahyarham, turut kelihatan beberapa pemimpin politik tanah air antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sama-sama mengiringi kepulangan Tun Daim ke alam abadi.
Jenazah yang tiba di Masjid Negara pada jam 3.43 petang diiringi petugas Polis Diraja Malaysia dan kenderaan pengiring.
Allahyarham disahkan meninggal dunia pada usia 86 tahun yang disahkan oleh peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar sekitar 8.30 pagi ini.
Daim pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1 untuk dikebumikan. -UTUSAN