JDT mudah benam KL Rovers 3-0, Heberty ledak hatrik - Utusan Malaysia

JDT mudah benam KL Rovers 3-0, Heberty ledak hatrik

PENYERANG JDT, Heberty Fernandes melakukan sepakan akrobatik untuk jaringan kedua pada perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Satu-satunya penyerang import yang disenaraikan dalam kesebelasan utama JDT, Heberty Fernandes muncul wira pasukan apabila meledak hatrik menentang kelab Liga A1 Semi Pro itu.

Pada perlawanan itu, pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio menurunkan majoriti pemain daripada skuad kedua seperti Junior Eldstal, Safiq Rahim, Corbin Ong, Nazmi Faiz serta tiga pemain bawah 23 tahun, iaitu Ahmad Aysar Hadi Mohd. Shapri, Daryl Sham dan Muhamad Alif Abdul Mutalib.

Turun sebagai pasukan bukan pilihan, KL Rovers tetap memberikan aksi bertenaga pada perlawanan itu dan hampir mencipta gol dan beberapa situasi berbahaya di pintu gol JDT.

Anak buah Wan Mustaffa Wan Ismail tampak tidak terjejas dengan isu luar padang membabitkan kelab itu setelah memaksa penyandang juara Piala Malaysia bekerja keras untuk meraih kemenangan.

KL Rovers hampir mencipta jaringan pembukaan pada minit ke-11 menerusi tandukan Amirul Husaini, namun penjaga gol import bawah 18 tahun, Christian Abad berjaya menafikan percubaan itu.

Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-20 hasil hantaran lintang Corbin Ong, namun Heberty gagal melakukan sentuhan penyudah yang tepat untuk mencipta gol pertama.

Pasukan pelawat itu berjaya memecahkan kebuntuan setelah sepakan percuma yang diambil pemain import itu melepasi jangkauan penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar dan menggegar jaring gawang lawan pada minit ke-26.

Tiga minit berselang, JDT semakin selesa di hadapan apabila pemain kelahiran Brazil itu memanfaatkan hantaran silang Corbin Ong dengan melakukan sepakan gunting dari jarak dekat. 

KL Rovers tidak menyerah kalah, malah turut melancarkan serangan balas menerusi umpanan Sharul Amin Nasharuddin mencari Faiz Mazlan namun pemain tengah itu gagal menyempurnakan peluang keemasan tersebut bagi merapatkan jurang gol.

Pada minit ke-34, pengadil perlawanan, Mohd. Fusser Mad Sallih menafikan peluang penalti buat KL Rovers setelah semakan bantuan video pengadilan (VAR) mendapati kekasaran dilakukan Junior terhadap Rafie Mat Yaacob berlaku di luar kotak penalti.

Romel Morales hampir menambah jaringan buat Harimau Selatan namun percubaan yang dilakukan dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

PENYERANG JDT, Romel Morales dihalang oleh pertahanan Kuala Lumpur Rovers, Muhammad Amirul pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

JDT terus menggandakan asakan pada babak kedua dengan membawa masuk Mohamadou Sumareh, Jorge Obregon dan Jese Rodriguez bagi memburu kemenangan dengan jaringan lebih besar, namun ketiga-tiga pemain itu gagal memahatkan nama dalam senarai penjaring  walaupun mempunyai banyak peluang terhidang.

Pada minit ke-71, Heberty yang berusia 36 tahun itu melengkapkan ledakan hatrik menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol buat kali ketiga pada perlawanan itu.

JDT mempunyai beberapa lagi peluang untuk melebarkan kedudukan namun percubaan Rodriguez dan Morales gagal merobek gawang lawan dan keputusan kekal sehingga wisel penamat serta kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di stadium sama bagi perlawanan kedua pada 30 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya