JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) III muncul juara Piala Presiden menewaskan Selangor FC dengan agregat 2-1 apabila perlawanan final kedua berkesudahan tanpa jaringan di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan JDT III bukan sahaja mempertahankan kejuaraan musim lalu, malah berjaya muncul juara buat tiga tahun berturut-turut.
Aksi kedua-dua perlawanan tampak seimbang apabila kedua-dua pasukan beraksi dengan agresif bagi memburu gol pembukaan.
Walau bagaimanapun, peluang demi peluang yang dijelmakan gagal disudahkan dengan baik oleh kedua-dua jentera serangan.
Pasukan tuan rumah hampir membuka jaringan pada minit ke-10, namun percubaan yang dilakukan sekadar menggegar palang gol.
Sepuluh minit berselang, giliran anak buah Muhammad Firdaus Aziz cuba merobek benteng pertahanan KDT III menerusi percubaan kapten, Danish Irfan Ezal, namun dinafikan penjaga gol JDT III, Zulhilmi Sharani.
Pada penghujung babak pertama, Danish Irfan sekali lagi berpeluang menjaringkan gol namun sentuhan penyudahya yang kurang tajam menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan dalam usaha mencari gol penting.
Peluang terbaik pasukan pelawat yang memerlukan satu jaringan untuk bergelar juara hadir pada minit ke-65, namun tandukan penyerang, Muhammad Harry Danish Mohd. Haizan tersasar.
Anak buah Gonzalo San Zaballos bukan hanya mempertahankan kemenangan di tempat lawan minggu lalu, malah turut melancarkan serangan namun tidak berjaya melepasi benteng ampuh Selangor FC.
Pada penghujung permainan, kedua-dua pasukan terus buntu untuk meledak jaringan dan menyaksikan aksi final kedua Piala Presiden itu berkesudahan tanpa jaringan dan membolehkan JDT III mempertahankan gelaran juara. – UTUSAN