ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super selepas berpesta gol 5-0 menewaskan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengutip 40 mata daripada 14 perlawanan, 11 mata di hadapan pencabar terdekat, Selangor FC yang memperoleh 29 mata.
Pada 10 minit pertama perlawanan, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang setelah masing-masing melancarkan serangan namun tiada percubaan menarik dapat dijelmakan.
Anak buah Hector Bidoglio kemudiannya meningkatkan tempo permainan mencari jalan meruntuhkan benteng ampuh The Bos Gaurus yang bermain dengan lima pertahanan.
Serangan JDT akhirnya membuahkan hasil apabila rembatan deras Arif Aiman Hanapi tepat ke arah penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid gagal diselamatkan dengan baik dan Romel Morales berada di posisi yang tepat menguis bola ke dalam gawang Perak pada minit ke-21.
Belum sempat pasukan tuan rumah itu mengatur langkah, gawang Perak sekali lagi dibolosi, kali ini jaringan tersebut dihasilkan oleh penyerang sensasi, Bergson Da Silva menerusi rembatan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-23.
Skuad kendalian Yusri Che Lah cuba bangkit untuk mencari gol pembukaan dan hampir merapatkan jurang, namun percubaan yang dilakukan Clayton Da Silva pada minit ke-27 melewati palang gol.
Pada minit ke-35, JDT terus melebarkan penguasaan apabila Morales menjaringkan gol kedua peribadinya apabila bijak melepasi perangkap ofsaid pasukan lawan dan menyudahkan umpanan Juan Muniz dengan baik.
Pada minit ke-41, Perak dinafikan peluang penalti setelah Feroz Baharudin yang gagal memenangi bola tertendang kaki Clayton setelah semakan bantuan video pengadilan (VAR) dilakukan oleh pengadil, Razlan Joffri Ali.
Lain pula situasi apabila Razlan Joffri menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan setelah pemeriksaan VAR mendapati berlaku kekasaran oleh pemain pertahanan, Jesper Nyholm dan Bergson tidak berdepan tugas sukar untuk menambah derita The Bos Gaurus apabila berjaya menyudahkan sepakan penalti dengan memperdayakan Mohamad Ramdhan yang merebahkan ke arah berlainan pada penghujung babak pertama.
Setelah selesa mendahului, JDT tampak bermain dengan tenang pada babak kedua, namun Juan Muniz mempunyai peluang untuk melebarkan jaringan buat Harimau Selatan, tetapi rembatan kencang dari jarak 20 meter jauh tersasar.
Walaupun jauh ketinggalan, namun anak buah Yusri tetap bertahan dengan disiplin bagi mengelakkan gawang terus dibolosi dan Arif Aiman sekali lagi meletakkan dirinya pada posisi yang baik untuk menjaringkan gol dengan melakukan rembatan deras ke penjuru gol, namun Ramdhan bijak melayangkan badan menafikan percubaan itu.
Pada minit ke-84, berlaku kekecohan di atas padang yang berpunca daripada kekasaran sesama pemain di luar kotak penalti pasukan Perak yang menyaksikan Tommy Mawat Bada mencekik Arif Aiman dan pemain sayap JDT itu dengan jelas menumbuk muka pemain pertahanan lawan itu.
Pengadil perlawanan mengambil tindakan mendamaikan situasi itu dengan melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain tersebut.
Pada penghujung babak permainan, Bergson berjaya melengkapkan jaringan hatriknya, sekali gus menamatkan permainan dengan jaringan 5-0. – UTUSAN