SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan pelan kontigensi bagi pengurusan operasi kejadian luar jangka menghadapi Monsun Timur Laut (MLT) dan luruan angin tropika.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Norhisham Mohammad berkata, pelan berkenaan berdasarkan ramalan cuaca
daripada Jabatan Meteorologi Malaysia di mana penumpuan hujan bakal melanda timur Semenanjung dan timur Sarawak pada bulan depan iaitu potensi hujan lebat berterusan melibatkan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“Jadi kami mengikut kepada ramalan tersebut dan penumpuan utama diberikan termasuklah daripada segi bantuan logistik daripada negeri atau daerah antara daerah. Pada masa sama, JBPM juga akan memantau dengan teliti fenomena sama ada berlaku luruan angin tropika dan penumpuan hujan yang berpanjangan di satu-satu tempat, kekhuatiran saya ialah luruan angin tropika.
“Kalau hujan lebat beserta banjir, kami akan beri fokus serentak dengan air pasang besar yang dijangka berlaku pada 15,16 dan 17 Disember. Jadi strategi penempatan dan kesiapsiagaan logistik sebagai fokus perancangan yang dibuat daripada segi pengurusan berdasarkan jangkaan insiden luar jangka tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Pangkat Penguasa Bomba Gred KB54, KB52, KB48 dan KB44 JBPM di sini hari ini.
Norhisham bagaimanapun memaklumkan, keanggotaan tidak ditambah berdasarkan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang percaya koordinasi antara agensi telah dibuat.
“Tetapi JBPM akan memberi fokus kepada penambahan logistik seperti logistik marin yang perlu dihantar awal. JBPM juga bersedia daripada segi penukaran syif anggota daripada 12 jam kepada 24 jam jika berlaku insiden tidak dijangka,” tambahnya.-UTUSAN.