ALOR SETAR: “Jasadnya bersih tanpa ada sebarang tanda kecederaan teruk kecuali sedikit kesan di tangan dan kaki, nampak macam dia sedang tidur”.
Demikian kata Nur Suraya Abdul Rahman, 42, mengenai keadaan anaknya, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di kawasan bendang di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang, semalam.
Menurut suri rumah itu, dia sudah mula merindui ketiadaan anak keduanya itu yang disapa Akief dan berasa sunyi berikutan mangsa seorang yang ceria serta rajin hingga dianggap sebagai penghibur dalam keluarga.
“Biasanya dia pulang ke rumah kira-kira pukul 6.30 petang atau sebelum Maghrib tetapi semalam, dia tidak pulang. Kira-kira pukul 7 petang sewaktu suami, Noraimi Ahmad, 42, baru pulang dari bekerja, kami terdengar bunyi motosikal di luar rumah.
“Saya sangkakan Akief pulang ke rumah tetapi sebaliknya terdengar orang lain memberi salam. Sebaik membuka pintu, terdapat dua rakan Akief yang memaklumkan anak kami terkena renjatan elektrik bersama rakan-rakan lain.
“Lutut terus terasa longlai sebelum saya bersama suami dan anak sulung, Muhammad Shabil Airiel, 17, bergegas ke lokasi kejadian. Di situ kami dapati empat rakan Akief yang turut terkena renjatan elektrik sudah sedar tetapi anak saya masih tidak bergerak,” katanya.
Tambahnya, melihat keadaan itu, dia sekeluarga terus menghampiri Muhammad Hariyz Akief dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum bergegas membawanya ke Hospital Kuala Nerang.
Bagaimanapun katanya, setibanya di hospital, doktor memaklumkan bahawa anaknya tidak dapat diselamatkan.
“Kami amat terkejut kerana suami beritahu dia sempat melihat anak kami itu tersenyum kepadanya apabila ternampak Muhammad Hariyz Akief bersama rakan-rakan, sewaktu dia pulang dari bekerja petang semalam.
“Saya terkenang detik-detik sewaktu kami makan tengah hari berdua semalam, Akief puji masakan saya sedap sedangkan lauk yang dijamu cuma ayam goreng dan sambal belacan. Dia juga sempat cuci motosikal kesayangannya sebelum mengunci rapi sambil menyatakan dia sudah tidak mahu menaiki motosikal itu,” katanya.
Tambahnya, jasad anaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Putus, selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Terdahulu, mangsa maut manakala empat rakannya cedera akibat terkena renjatan elektrik sewaktu cuba mengait umpan tiruan yang tersangkut di kabel elektrik menggunakan galah aluminium.
Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka berdiri di atas tempat duduk motosikal sebelum cuba mengait umpan tiruan tersebut menggunakan galah aluminium sambil motosikal itu dipegang oleh mangsa lain termasuk Muhammad Hariyz Akief.
Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, Asisten Superintenden Mohd. Yukhrul Mohd. Yusoff berkata, kejadian berlaku pukul 6.30 petang di kawasan bendang kampung itu.
“Seorang daripada remaja terbabit berdiri di atas tempat duduk motosikal dan cuba mengaitnya menggunakan sebatang galah aluminium manakala mangsa yang maut bersama rakan-rakan lain, memegang kenderaan itu agar stabil.
“Secara tiba-tiba, mereka berlima terkena renjatan elektrik hingga kesemuanya pengsan. Empat rakannya kembali sedar tidak lama kemudian namun mangsa didapati tidak bergerak,” katanya ketika dihubungi.