JERLUN: ‘Jangan risau, insya Allah selamat lagi kerana bumbung ini sangat kukuh. Saya guna bancuhan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR), berpuluh tahun saya kerja buat rumah dan bangunan.
Demikian tegas Awang Ali Abdullah, 64, yang tular dalam media sosial sejak Jumaat lepas setelah meletakkan dua kereta di atas bumbung rumahnya di Kampung Matang Paku, Ayer Hitam, di sini.
Awang Ali memberitahu, dia yang mempunyai kepakaran membuat rumah membina bumbung tersebut menggunakan bahan konkrit untuk bangunan yang kukuh strukturnya.
“Saya guna konkrit standard 1:2:4 yang ada cerucuk kukuh kerana waktu saya bina rumah pada 2008, besi masih murah. Kalau nak ikut keluasan bumbung 40×25 kaki ini, jangan kata dua, enam kereta masih muat atas bumbung ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Dia berkata demikian bagimenjawab kecaman orang ramai yang mempertikai tindakan meletakkan kereta di atas bumbung rumah kerana dianggap membahayakan keluarganya, selain tidak rasional.
“Banyak yang kecam kata kenapa tak letak kereta di rumah jiran atau bawa ke tempat lain tetapi saya rasa mengangkat kereta ini ke atas bumbung lebih senang. Guna kren sahaja kerana anak saya, Mohd. Fazli, 39, kerja kendalikan jentera berat itu.
“Nak bawa tempat lain kena tunda sebab dua kereta ini tidak boleh bergerak. Kena baiki dulu, itulah ceritanya. Kalau orang tak tahu, tak tahulah ceritanya,” katanya.
Kata Awang Ali, dia mahu mengosongkan halaman rumahnya untuk majlis kenduri cucu saudara, Shahira Zamzuri, 27, pada Sabtu lepas.
“Sebanyak enam khemah perlu dipasang kerana jemputan lebih 1,500 orang dan halaman rumah agak sesak. Daripada situ timbul idea angkat kereta ke atas bumbung. Saya tidak sangka nak tular pula. Orang kampung sendiri yang tularkan,” katanya.