PETALING JAYA: Kuik Guan Rong, 20 tidak pernah menyangka hobi mengumpul kad dagangan (TCG) yang dipilihnya mampu menjadikannya sebagai jutawan.
Apatah lagi kad permainan tersebut hanya memaparkan siri animasi tertentu, jauh berbeza dengan barangan berharga lain seperti emas ataupun berlian.
Hobinya itu memberikan pulangan berbaloi apabila dia memperoleh RM15 juta selepas sekeping kad TCG yang memaparkan siri animasi One Piece miliknya dibeli seorang pengumpul dari Taiwan.
“Pada mulanya saya menyertai kejuaraan dunia yang diadakan pada Mac lalu dengan mempertaruhkan kad tersebut. Kemudian saya berjaya memenangi kejuaraan itu.
“Apabila menang, pengumpul itu terus berminat dan mahu membelinya dengan nilai AS$3.5 juta (RM15 juta),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Antara siri animasi popular yang menjadi paparan pada kad TCG ialah Pokemon; One Piece; Naruto dan Magic: The Gathering.
Dalam pada itu, Guan Rong yang berasal dari Bukit Mertajam Pulau Pinang berkata, dia mula mengumpul kad permainan tersebut pada tahun 2020 iaitu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Pada mulanya saya hanya mahu mengisi masa lapang dan menontong tentang permainan ini menerusi saluran Youtube.
“Tetapi saya terus minat dan mula menyertai pertandingan tertentu. Saya keluarkan modal kira-kira RM1,000 pada permulaan hobi ini,” katanya.
Tambah Guan Rong, seseorang yang mahu berjaya dalam hobi tersebut perlu menyertai pelbagai pertandingan secara lebih kerap untuk mengasah kemahiran mereka.