Jabatan Kastam gagalkan cubaan seludup rokok ke Sri Lanka

Jabatan Kastam gagalkan cubaan seludup rokok ke Sri Lanka

WAN Jamal Abdul Salam Wan Long (tengah) menunjukkan rokok putih seludup yang dirampas di Pejabat JKDM Kelantan di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas enam juta batang rokok yang cuba diseludup ke Sri Lanka selepas menyerbu sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 4 November lalu.

Rampasan itu dilakukan JKDM Kelantan dengan kerjasama JKDM Zon Tengah, Unit II, Selangor pada pukul 3.30 petang sejurus menerima maklumat awam berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, sebelum itu JKDM Kelantan telah bertindak ‘mengunci’ kontena tersebut pada 23 Oktober lalu sejurus menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan menjumpai enam juta batang rokok termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM4.66 juta.

“Siasatan awal mendapati rokok itu dibawa masuk dari Kemboja melalui Laut Cina Selatan dan kemudian transit ke negara ini buat sementara waktu.

“Rokok-rokok tersebut kemudian akan bawa keluar untuk dipasarkan ke Sri Lanka,” katanya semasa sidang media di Pejabat JDKM Kelantan di sini hari ini.

Wan Jamal memberitahu, tiada sebarang tangkapan dilakukan semasa serbuan dilakukan.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Jamal Abdul Salam berkata, pada 10 November lalu JKDM Kelantan telah menahan tiga lelaki yang membawa rokok seludup yang juga bersetem palsu sebanyak 254,800 batang dalam serbuan berasingan di Kota Bharu.

Katanya, ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan sekitar Telipot dan Pasir Tumboh.

“Semua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin. Siasatan mendapati suspek mengambil upah RM300 untuk satu perjalanan dengan membawa rokok tersebut bagi pasaran tempatah.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya