KUALA LUMPUR: Malaysia tetap dengan pendirian untuk menentang genosid walaupun tidak menandatangani Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid 1948 (Konvensyen Genosid).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak menandatangani konvensyen itu atas beberapa sebab yang saling terkait dengan Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Beliau berkata, antara sebab-sebab lain ia melibatkan perkara seperti hak bumiputera dan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ).
“Ia terikat dengan Statut Rom. Setakat ini, Malaysia dalam soal Icerd dan Statut Rom ada kekangan kerana beberapa peruntukan dalam statut itu tidak boleh diterima oleh sebahagian masyarakat kita, terutama dalam dasar mempertahankan hak bumiputera, soal agama dan LGBT.
“(Perkara itu) juga telah ditimbulkan oleh Raja-raja Melayu,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkenaan jika Malaysia boleh menandatangani Konvensyen Genosid bagi membolehkan negara mengambil tindakan lebih tegas ke atas serangan Israel di Palestin.
Namun Anwar berkata, kerajaan bersedia menilai semula ketetapan berhubung pengecualian terhadap Perkara Sembilan Konvensyen Genosid 1948.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang rentas parti boleh membincangkan soal Statut Rom.
“Ia perlu dilaksanakan secara perbincangan antara Jawatankuasa Pemilih dan parti politik untuk menilai kaedah boleh dilakukan bagi kajian semula ke atas Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Saya fikir jawatankuasa pilihan (khas Parlimen) boleh bincang antara parti tentang bagaimana kita boleh majukan isu ini dan melihat semula peruntukan Statut Rom dan boleh diteruskan jika ada kesepakatan,” katanya.
Mengulas mengenai isu genosid, Anwar berkata, pendirian Malaysia berhubung perkara tersebut adalah jelas dan dibangkitkan dalam pertemuan bersama Presiden Colombia, Gustavo Petro, sebelum ini.
“Saya menarik perhatian dalam pertemuan kita (bersama Petro). Saya sebut selepas kita tekankan soal genosid, Petro yang menyusuli ucapan saya menyatakan, dalam menyokong pendirian Malaysia, beliau menekan ‘genocide is genocide’.
“Maknanya minta Sidang G20 menerima kenyataan genosid. Jadi pendirian kita sangat jelas.
“Soal Afrika Selatan dan Colombia, dalam perbincangan saya dengan Ramaphosa. Saya beritahu apa juga cara termasuk menghantar wakil ke sidang Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Menteri Luar sendiri hadir untuk menyatakan pendirian kita, walaupun Malaysia tidak boleh mengemukakan kerana bukan anggota. Ini Sik (Ahmad Tarmizi) harus faham, dia terikat dengan Statut Rom ICC.
“Walaupun (begitu), saya harus nyatakan kita ada sedikit kebimbangan melihat kepada suasana dan peruntukan Perlembagaan kita dan pendirian Raja-raja Melayu,” katanya.