Israel bedil hospital, bunuh 46 lagi rakyat di Gaza

Israel bedil hospital, bunuh 46 lagi rakyat di Gaza

SEORANG lelaki warga Palestin mendukung kanak-kanak yang cedera dalam pengeboman Israel di Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia di utara Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin dilaporkan terkorban dalam operasi ketenteraan Israel di seluruh Gaza semalam, dengan serangan utama tertumpu di kawasan utara.

Salah satu serangan mengenai sebuah hospital, menyebabkan bekalan perubatan terbakar dan mengganggu operasi rawatan, menurut pegawai kesihatan di wilayah itu.

Tentera Israel menuduh Hamas menggunakan Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya untuk tujuan ketenteraan serta mendakwa puluhan pejuang bersembunyi di sana, namun dinafikan oleh pegawai kesihatan dan Hamas.

Petang Khamis, serangan udara Israel terhadap dua rumah di kem Nuseirat, tengah Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin.

Pihak hospital Al-Awda di kem itu memaklumkan mangsa yang terkorban ialah seorang paramedik dan dua wartawan tempatan.

Kawasan utara Gaza kini menjadi tumpuan utama serangan ketenteraan Israel selepas tentera negara itu mendakwa telah melumpuhkan struktur komando Hamas pada Januari lalu.

Pengarah kejururawatan di Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, Eid Sabbah berkata, beberapa kakitangan mengalami cedera ringan akibat kebakaran susulan serangan yang mengenai tingkat tiga hospital tersebut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan di hospital itu, yang telah diserbu dan diduduki tentera Israel untuk tempoh singkat minggu lalu.

Kementerian Kesihatan di Gaza menggesa badan antarabangsa untuk melindungi hospital dan kakitangan perubatan daripada kekejaman tentera Israel.

Sehingga kini, serangan Israel terhadap Gaza menyebabkan lebih 43,000 rakyat Palestin terbunuh, manakala kebanyakan wilayah itu musnah, kata pihak berkuasa Palestin.– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya