PETALING JAYA: Kebergantungan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam yang kini terbeban bakal bertambah sekiranya caj premium insurans terus meningkat.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira dalam satu kenyataan berkata, pemegang polisi insurans yang tidak mampu membayar premium tinggi akan memilih sistem penjagaan kesihatan awam.
Justeru katanya, walaupun pelarasan kepada premium insurans dilihat sebagai satu keperluan, kadar tersebut perlu berada pada tahap berpatutan.
“Polisi insurans harus direka bentuk untuk menampung semua kumpulan pendapatan supaya kewangan untuk kesihatan sentiasa tersedia.
“Selain itu, mereka yang mempunyai polisi sedia ada juga tidak sepatutnya terbeban dengan kenaikan premium yang tidak dirancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Dr. Kalwinder berharap, pendekatan yang seimbang adalah penting untuk mengekalkan ekosistem penjagaan kesihatan mampan yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan polisi insurans perubatan semakin membebankan apabila dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan berdasarkan notis yang dihantar oleh para penanggung polisi kepada pengguna. – UTUSAN