MELAKA: Penubuhan Koridor Utiliti Melaka (KUM) bermula 1 Januari 2025 membantu melancarkan proses kerja pelan pemetaaan pengesanan bawah tanah (UDM) dan tiga skop kerja baharu berkaitan fiber optik di negeri ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tiga skop kerja itu melibatkan rangkaian fiber optik akses terbuka, tiang gentian optik bersepadu dan guna sama serta terowong utiliti bersepadu.
Kata beliau, Bahagian Koridor Infrastruktur dan Impak Sosial (BKI) berperanan sebagai agensi bagi pihak kerajaan negeri untuk mengawal selia dan memantau segala aktiviti dilaksanakan KUM.
“Menerusi cadangan ini, tempoh perjanjian yang dipersetujui adalah selama 10 tahun dengan lima tahun pertimbangan lanjutan kontrak. Penubuhan KUM bertujuan melaksanakan sebahagian fungsi BKI sedia ada sebagai first entry point bagi permohonan UDM.
“Penubuhan ini diharapkan dapat melancarkan proses kerja melibatkan UDM dan tiga skop baharu di bawah KUM seiring hala tuju memacu ekonomi Melaka dengan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penubuhan KUM di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Ab. Rauf menyaksikan pertukaran perjanjian antara kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Koridor Utiliti Melaka Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismael Hamdan.
Tambahnya, sebanyak empat konsesi telah mendapat tawaran dan menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri dan akan diletakkan di bawah KUM.
“Kesemua obligasi adalah tertakluk di bawah KUM. Besar harapan saya agar Koridor Utiliti Melaka Sdn. Bhd. dapat menjalankan perkhidmatan yang berkualiti.
“Saya percaya usaha ini akan memberi impak positif kepada pembangunan kerajaan negeri, sekali gus dapat menyelaras sistem utiliti dan infrastruktur yang lebih tersusun serta bersistematik,” ujarnya. – UTUSAN