Industri getah sumbang RM27.8 bilion pendapatan negara - Utusan Malaysia

Industri getah sumbang RM27.8 bilion pendapatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri getah menyumbang sebanyak RM27.8 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2023.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, eksport sarung tangan getah adalah sebanyak 42.6 peratus atau RM11.8 bilion daripada jumlah keseluruhan RM27.8 bilion.

Menurut beliau, 35 peratus daripada RM11.8 bilion adalah sarung tangan getah yang dieksport ke Amerika Syarikat.

“Sumbangan eksport sarung tangan getah tahun 2024 dijangka mencapai RM13.7 bilion meningkat 16 peratus berbanding tahun 2023.

“Amerika Syarikat (AS) merupakan destinasi utama eksport sarung tangan getah Malaysia,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang memintanya menyatakan rancangan kerajaan terhadap perubahan struktur permintaan sarung tangan nitril global untuk Malaysia

Kamal berkata, ia mengambil kira kenaikan tarif sarung tangan perubatan dari China oleh AS dengan tarif sebanyak 50 peratus pada 2025 dan 100 peratus pada 2026 untuk sarung tangan perubatan getah dari China.

Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memandang positif akan kenaikan tarif sarungan tangan perbatan daripada China oleh AS.

Jelasnya, kenaikan tersebut akan menyebabkan harga sarung tangan dari China meningkat di pasaran AS dan pada masa sama menjadikan sarung tangan dari Malaysia lebih berdaya saing.

“Kerajaan melihat ini sebagai peluang bagi industri sarung tangan getah negara untuk meningkatkan kembali syer pasaran di Amerika Syarikat (AS).

“Pada masa ini syer pasaran sarung tangan getah Malaysia di AS adalah sebanyak 44 peratus berbanding purata 55 peratus iaitu dari 2020 hingga 2023,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) akan menggiatkan lagi usaha untuk mempromosikan sarung tangan getah menerusi penyertaan di pameran perdagangan utama di AS seperti Florida International Medical Expo (FIME) dan International Restaurant & Food Service Show di New York.

“Kerajaan juga akan mengambil peluang ini untuk mempromosikan sarung tangan berasaskan getah asli. Selain itu, pihak MRC juga menyediakan geran di bawah Dana Automasi dan Teknologi Hijau bagi menyokong modenisasi pengeluaran sarung tangan getah oleh pemain industri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya