KUALA LUMPUR: Imej Malaysia dalam isu rasuah sudah meningkat apabila usaha negara dalam membanteras dan memerangi jenayah tersebut mula mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut boleh dibuktikan menerusi keyakinan kerajaan Qatar ang meminta kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merangka program pemberantasan rasuah di negara tersebut.
“Imej kita sudah meningkat, bukan sahaja daripada segi indeks persepsi rasuah, tetapi (Malaysia turut mendapat) pengiktirafan negara luar yang meminta kerjasama (daripada kita).
“Minggu depan kerajaan Qatar minta satu rombongan utama membabitkan menteri dan SPRM untuk bekerjasama merangka program pemberantasan rasuah di negara-negara Islam. Itu ditugaskan kepada SPRM atas pengiktirafan mereka,” katanya sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang memintanya menyatakan tahap pencapaian kerajaan setelah mencapai usia dua tahun pemerintahan dalam melaksanakan pelbagai janji reformasi antaranya usaha memerangi rasuah, memperkukuh integriti institusi, memperkasa sistem demokrasi serta menjamin kebebasan media dan hak bersuara rakyat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, perubahan drastik sedang dilakukan kerajaan dalam perkhidmatan awam.
“Sebab itu kita mulakan dengan skim persaraan perkhidmatan awam untuk mengiktiraf peranan mereka dan menuntut supaya ada perubahan. Senaraikan tahap kecekapan. (Contohnya) JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) berapa lama masa kelulusan, lesen untuk pendaftaran syarikat dan sekolah-sekolah swasta.
“Semua ini diambil kira dalam proses (terbabit), saya akan sediakan secara terperinci kepada Pendang termasuk mengenai program untuk memastikan tahap kecekapan meningkat, tidak ada makna kalau reformasi tetapi tahap kecekapan ditahap lama,” katanya.