ARAU: Sejak kecil, Veera Vimallen Gordial, 26, melihat ibunya mengayuh basikal berulang alik dari rumah ke tempat kerja untuk mencari rezeki sebagai pembantu rumah bagi membesarkan dia dan seorang lagi adiknya.
Sejak itu, dia sebagai anak sulung bertekad belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga dengan memberi ruang buat ibunya berehat.
Semalam, penat lelah ibunya, Ramani Devi, 54, yang bekerja 27 tahun lalu bagai terbalas apabila Veera menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada sidang kedua Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-19 di Dewan Ilmu, Pauh Putra di sini.
Veera menerima skrol ijazah disampaikan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor universiti berkenaan.
Ijazah diterimanya adalah hadiah paling istimewa kepada ibu yang telah banyak berjasa membesarkan anak-anak dengan pendidikan sempurna meskipun hidup dalam serba kekurangan.
Lebih istimewa, dia sudah mendapat kerja di sebuah syarikat di Pulau Pinang. dua bulan lalu.
Veera berkata, pendapatan ibunya sebagai pembantu rumah sekitar RM850 hingga RM1,000 sebulan selepas bapanya meninggal dunia ketika dia masih di sekolah menengah. – UTUSAN