MELAKA: Seorang penyeluk saku yang aktif sejak Januari tahun ini dengan menyasarkan para pelanggan di sebuah pasar raya di Ayer Keroh di sini, diberkas polis bersama barangan curi, semalam.
Suspek berusia 45 tahun yang merupakan ibu kepada empat anak itu ditangkap kira-kira pukul 7.35 malam ketika sedang berjalan menuju ke kenderaannya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan curi di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan enam kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jelasnya, ketika tangkapan oleh sepasukan polis yang melakukan penyamaran, suspek dipercayai baharu selesai mencuri dompet di surau pasar raya berkenaan.
“Kita menjalankan risikan di pintu masuk dan terlihat suspek dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan menuju ke arah parkir kenderaan.
“Pemeriksaan dalam beg sandang dibawa suspek menjumpai dua dompet mengandungi dokumen peribadi milik beberapa individu, dipercayai mangsa kejadian curi dan wang tunai RM10,” katanya.
Tambah Christopher, suspek aktif melakukan jenayah sama sejak 2015 di sekitar Pulau Pinang dan setakat ini terdapat tujuh laporan kecurian di surau pasar raya itu dipercayai dilakukan wanita berkenaan.
“Kesemua barangan bukti dirampas dan suspek ditahan di lokap di Balai Polis Malim bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN