Ibu biar anak ditendang rakan dipenjara 14 hari, denda RM10,000 - Utusan Malaysia

Ibu biar anak ditendang rakan dipenjara 14 hari, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang tergamak menendang dan membiarkan anaknya ditendang oleh dua rakannya sendiri dipenjara 14 hari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki, sembilan bulan lalu.

Hakim Noorina Zainol Abidin turut menjatuhkan hukuman sama terhadap rakan ibu mangsa, suri rumah, Adibah Mohd. Zaini,35; dan penganggur, Nor Azlin Fatin Najihah Lokman,25.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah melakukan penganiayaan kepada seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun enam bulan (ketika kejadian) yang mana perbuatan itu boleh mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pangsapuri Residensi Desamas, Taman Danau Desa di sini antara pukul 1.40 hingga 1.45 petang, 23 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-dua sekali.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara kesemua tertuduh berkuat kuasa hari ini.

Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran selain diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan selepas selesai hukuman penjara.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap kesemua tertuduh.

“Perbuatan ini tidak berperikemanusiaan (dilakukan) terhadap seorang kanak-kanak. Pihak pendakwaan mencadangkan hukuman pemenjaraan dikenakan oleh mahkamah sebagai pengajaran kepada tertuduh,” kata Joshua.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon hukuman berbentuk denda yang minima kerana masing-masing perlu menjaga keluarga.

Menurut fakta kes, pemeriksaan awal perubatan menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kening, perut, belakang badan, tangan dan kaki mangsa.

Hasil siasatan mendapati bahawa ketiga-tiga tertuduh telah bersama-sama menyebabkan penganiayaan kepada mangsa dengan menendang mangsa dan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya