PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad yang meninggal dunia petang semalam.
Dalam satu hantaran ringkas di media sosial, Anwar berkata, Ibrahim merupakan tokoh yang telah menyumbang kepada negara terutama ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Saya amat berdukacita atas pemergian Tan Sri Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, seorang sahabat yang baik dan seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada negeri Pulau Pinang.
“Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarham dan memberi ketabahan kepada keluarganya, InsyaAllah,” katanya dalam kenyataan menerusi laman media sosial milik beliau.
Bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar KPJ Damansara petang semalam dan perkara itu disahkan oleh anak lelaki Allahyarham.
Menurut sumber, jenazah dibawa ke Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail pagi ini untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Kiara untuk dikebumikan.
Ibrahim terkenal sebagai seorang pemimpin yang banyak memberi khidmat kepada masyarakat, khususnya di Pulau Pinang.
Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk menjadi Duta Malaysia ke Filipina dan Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM).
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Anwar semasa di Kementerian Belia dan Sukan dahulu. – UTUSAN