Hujan lebat luar biasa punca banjir kilat di Selangor semalam

Hujan lebat luar biasa punca banjir kilat di Selangor semalam

Banjir kilat
MOHD. Najwan Halimi bertemu penduduk ketika meninjau rumah pam dekat Taman Mutiara Bukit Raja 2 yang menjadi antara kawasan dilanda banjir kilat semalam, di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Hujan lebat luar biasa yang berlaku semalam dipercayai menjadi punca kepada beberapa kawasan dan jalan utama di sekitar Gombak, Damansara, Shah Alam dan Klang dilanda banjir kilat.

Curahan itu dikatakan pada kadar kumulatif dua atau tiga hari hujan yang turun dalam masa sama mengakibatkan paras air meningkat dua kaki dan menenggelamkan jalan-jalan utama sehingga menyebabkan kesesakan trafik lebih sejam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, pihak berkuasa sudah pun kenal pasti semua kawasan yang berisiko sedang jalankan kerja-kerja pembinaan tebatan banjir.

“Baru-baru ini dalam peruntukan Belanjawan 2025 pun Kerajaan Persekutuan ada umumkan peruntukan untuk menangani banjir melibatkan kawasan di Kota Damansara.

“Tetapi, dari masa ke masa memang kerajaan negeri dengan kapasiti dan kemampuan yang sedia ada kita menggerakkan segenap upaya untuk menambah baik projek-projek tebatan dan mitigasi banjir.

“Pada masa sama kita hendak melengkapkan juga unit pengurusan bencana negeri untuk sebarang kesiapsiagaan sekiranya berlaku sebarang musibah atau bencana. Cuma kita tak boleh ramal cuaca kini macam mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau rumah pam di Taman Mutiara Bukit Raja 2, hari ini.

Tambahnya, antara faktor lain turut menyumbang kepada insiden banjir kilat semalam adalah fenomena air laut pasang besar yang berlaku pada minggu ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan jalan-jalan utama di sekitar bandar raya ini dan Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih tiga jam sejak awal pagi semalam.

Antara kawasan terlibat termasuklah Seksyen 13 berdekatan Stadium Shah Alam apabila paras air Sungai Damansara meningkat, selain itu turut dilanda banjir kilat di kawasan Setia Alam, Bukit Raja dan Meru dengan ketinggian sehingga dua kaki.

Dalam pada itu, Mohd. Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik memberitahu projek kolam takungan banjir di Taman Mutiara Bukit Raja 2 di sini yang sepatutnya siap pada 28 Oktober lalu dilaporkan mengalami kelewatan dan dijangka siap pada 6 Mac depan.

Kelewatan tersebut berlaku apabila tahap pembinaannya kini hanya mencapai 25 peratus susulan terdapat isu teknikal seperti semakan rekaan dan kapasiti pam yang merangkumi kadar pelepasan air bagi memastikan parit-parit di Jalan Haji Sirat mampu menampung aliran keluar dari kolam takungan itu.

“Sepatutnya siap pada bulan lepas 2024, tetapi saya difahamkan oleh JPS ada beberapa isu teknikal yang sedang diselesaikan melibatkan rekaan dan sebagainya. Jadi, akan ada extension, cuma saya minta JPS memberikan penjelasan kepada penduduk.

“Buat masa ini, kita memang bergantung kepada pam yang untuk kawasan di Klang terutamanya di kawasan Bandar Bukit Raja dan Meru. Kolam takungan yang sedang dalam proses pembinaan itu diharapkan dapat menampung limpahan ataupun lebihan air hujan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya