MELAKA: Para pemilik hotel di negeri ini yang mempunyai premis dapur atau restoran diminta segera memohon pensijilan halal untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan yang mengangkat aspek ‘halalan toyyiban’.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tahun ini Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebagai agensi yang menguruskan permohonan pensijilan halal telah menerima lebih 400 permohonan.
Ujarnya, Melaka juga berjaya merekodkan lebih 300 syarikat dan produk halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berbanding pada awal dekad lalu negeri ini hanya memiliki beberapa puluh perniagaan halal sahaja.
“Memandangkan Melaka sememangnya terkenal dengan negeri pelancongan, tentunya kerajaan negeri komited memastikan semua aspek termasuk jualan makanan, restoran-restoran serta premis-premis hotel di negeri ini diyakini oleh para pelancongan khususnya dalam aspek halalan toyyiban.
“Baru-baru ini, Melaka juga telah meraih anugerah Halal State Performance Excellence Award daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Saya yakin, pengiktirafan ini jelas mempamerkan bahawa Melaka merupakan negeri yang menjulang hab halal terbaik dan perlu dicontohi semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pra Pelancaran Melaka International Halal Festival (MIHF) 2024 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad berkata, MIHF 2024 yang bertemakan ‘Mengoptimum Industri Halal’ akan berlangsung selama tiga hari bermula 20 Disember ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Katanya, platform yang dilihat dapat memupuk pertumbuhan mampan industri halal global itu menyasarkan 10,000 pengunjung termasuk dari SIngapura, Indonesia dan Timur Tengah.
“Festival ini menawarkan peluang kepada 450 pempamer dari 10 buah negara antaranya Bangladesh, Vietnam, Filipina dan Namibia untuk menampilkan produk halal meliputi sektor makanan dan minuman, kosmetik, kesihatan hingga pelancongan,” katanya. – UTUSAN