Hospital pakar swasta di timur Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Hospital pakar swasta di timur Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar (dua dari kiri) dan Dr. Tan Boon Hock (tiga dari kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman pembinaan hospital pakar swasta antara Oval Galley Sdn. Bhd. dan Sena Healthcare Services Sdn. Bhd. di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hampir setengah juta penduduk yang mendiami bahagian dikenali sebagai Negeri Sembilan Timur berpeluang mendapatkan rawatan pakar dengan pembinaan sebuah hospital pakar swasta di Juasseh dekat Kuala Pilah.

Hospital yang akan dibina dan dikendalikan oleh Sena Healthcare Services Sdn. Bhd. itu terletak di kawasan seluas hampir satu hektar di Taman Redani dekat Juasseh.

Ketua Pegawai Eksekutif Oval Gallery Sdn. Bhd. (Oval Gallery), Raja Rahiman Raja Mushahar berkata, hospital berkenaan adalah antara komponen utama projek pembangunan bercampur seluas lebih 40 hektar di Taman Redani merangkumi lebih 800 unit rumah.

Beliau berkata, selaku pemaju Taman Redani, Oval Gallery memilih hospital pakar swasta sebagai kemudahan kesihatan yang diperlukan oleh penduduk di daerah Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.

“Pada masa ini, kawasan ini hanya mempunyai kemudahan hospital kerajaan di Kuala Pilah, Bandar Seri Jempol dan Tampin dengan fasiliti terhad.

“Kami percaya pembinaan hospital pakar swasta ini adalah pemangkin utama yang mampu menaikkan taraf kesihatan penduduk di timur negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pembinaan hospital itu antara Oval Galley dan Sena Healthcare Services di sini hari ini.

Pada majlis itu, Oval Gallery diwakili oleh Pengerusinya, Tunku Panglima Besar, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar manakala Sena Healthcare Services diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Tan Boon Hock.

Majlis menandatangani MoU itu juga disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Sena Healthcare Services, Dr. Jufithri Abd. Halim memberitahu, hospital dengan kapasiti 240 katil itu akan mula dibina pada penghujung 2025 dan dijangka beroperasi pada 2028 dengan pelaburan sebanyak RM150 juta.

Bagaimanapun, jelasnya, fasa satu projek itu akan menawarkan hanya sebanyak 120 katil.

“Hospital ini menawarkan perkhidmatan perubatan am, pembedahan, perbidanan dan sakit puan, kanak-kanak, ortopedik, optamologi dan kardiologi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya