Hasrat lelaki OKU memancing tidak kesampaian, meninggal dunia dalam hutan akibat kejang badan - Utusan Malaysia

Hasrat lelaki OKU memancing tidak kesampaian, meninggal dunia dalam hutan akibat kejang badan

ANGGOTA polis bersama pasukan penyelamat membawa seorang lelaki OKU yang meninggal dunia keluar dari kawasan hutan Jabi, Kampung Redan di Lipis, Pahang - FOTO/IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS : Hasrat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) untuk memancing tidak kesampaian apabila meninggal dunia akibat berlaku kekejangan badan dalam kawasan hutan Jabi, Kampung Redan, Mela di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa, Rosdan Mat Isa, 53, bersama sepupunya pergi ke hutan tersebut untuk memancing dan berkhemah kira-kira pukul 4 petang, Sabtu lalu.

“Menjelang pukul 12 tengah malam hari yang sama ketika hujan, mangsa tiba-tiba mengalami kekejangan badan.

“Mangsa masih tidak menunjukkan perkembangan positif dan tidak sedarkan diri manakala kawasan kejadian tidak mempunyai liputan rangkaian telefon untuk membuat panggilan telefon bagi mendapatkan bantuan dari luar,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Menurut Ismail,  kira-kira pukul 3 pagi pada Ahad lalu, sepupu OKU berkenaan mengambil keputusan untuk keluar dari hutan dan meninggalkan mangsa bagi mendapatkan bantuan.

“Pasukan penyelamat terdiri daripada polis,  Angkatan Pertahanan Awam  Malaysia (APM) dan pasukan bomba dan penyelamat Kuala Lipis masuk ke kawasan kejadian pukul 10 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa dari tempat kejadian setelah terpaksa melalui laluan sukar dan jauh mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Lipis dan unit forensik sudah menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa dan mendapati mangsa meninggal dunia akibat saluran jantung tersumbat.

“Polis mengesahkan kejadian ini dan siasatan ke atas fizikal badan mangsa tidak mempunyai unsur-unsur perlakuan jenayah dan kejadian  diklasifikasikan di bawah mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN