KUANTAN: Kerajaan disaran mengharamkan secara total penggunaan vape atau rokok elektronik yang dilihat menjadi antara punca kepada penagihan dadah.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat saranan itu selepas baginda menzahirkan kebimbangan terhadap jumlah penagih dadah di negeri ini.
Baginda bertitah, negeri ini mencatatkan seramai 11,750 penagih di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan 57 peratus daripadanya berusia antara 15 hingga 30 tahun.
“Antara sebab mereka (penagih dadah) terlibat, secara langsung dan tidak langsung ialah kerana bermula dengan rokok dan sekarang ada alat vape. Alat ini adalah alat yang merosakkan kesihatan.
“Saya menyuarakan kepada pihak kerajaan supaya alat ini perlu diharamkan secara total supaya tidak perlu hendak beri pertimbangan sewajarnya dan terbukti bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia,” titah baginda dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024 di Hotel The Zenith di sini.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Dalam majlis berkenaan, Sultan Pahang berkenan mengurniakan anugerah kepada 52 pelajar MTNP yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Al-Sultan Abdullah dalam pada itu mengingatkan semua pihak terutama ibu bapa untuk bersama membantu memerangi gejala dadah yang semakin berleluasa di negeri ini.
“Sudah sampai masanya ibu bapa di negeri Pahang ini tidak kiralah yang ada anak terlibat atau tidak terlibat bangkit untuk membantu, berilah nasihat yang sewajarnya,” titah baginda. – UTUSAN