Haramkan segera produk e-rokok - MMA - Utusan Malaysia

Haramkan segera produk e-rokok – MMA

ISU keracunan dan ketagihan vape dalam kalangan bawah umur masih tidak terkawal. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong saranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengharamkan sepenuhnya produk e-rokok atau vape di negara ini.

Presidennya, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, kerajaan perlu memberi pertimbangan serius terhadap cadangan yang telah disuarakan oleh Sultan Pahang.

“Kami amat bimbang kerana penggunaan vape boleh membawa kepada masalah kesihatan serius seperti masalah pernafasan, penyakit paru-paru serta kerosakan organ lain.

“Penggunaan vape secara langsung atau tidak langsung juga boleh menyebabkan ketagihan terhadap dadah dan bahan berbahaya lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Kalwinder berkata, isu penggunaan vape dalam kalangan rakyat perlu ditangani dengan segera sebelum ia mengakibatkan kerosakan kesihatan yang tidak dapat dielakkan.

“Peningkatan penggunaan vape dalam kalangan belia di negara ini juga amat membimbangkan dan perlu dibendung dengan segera,” katanya.

Menurut laporan, sebanyak 2,807 kes EVALI (kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan e-rokok atau vape) dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat sehingga 2020 manakala di Malaysia pula, sebanyak 41 kes EVALI dilaporkan dari 2019 hingga 30 September tahun ini.

Pada 14 November lalu, kerajaan dilaporkan terpaksa membelanjakan lebih RM150,000 untuk merawat seorang pesakit yang mengalami EVALI.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kos rawatan ini dijangka meningkat kepada RM369 juta setahun menjelang 2030 sekiranya tiada langkah kawalan diambil terhadap penggunaan e-rokok atau vape.

Selain itu, Kalwinder berkata, langkah kawalan terbaik adalah dengan mengharamkan sepenuhnya semua produk e-rokok atau vape.

“Fakta dan angka jelas menunjukkan penggunaan vape tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat sama ada dari segi kesihatan atau kos penjagaan kesihatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya