MARAN: Seorang guru dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti memancing di Sungai Pahang berdekatan Jeti Chenor, Kampung Chenor di sini.
Mangsa, Murdani Ab. Rahman, 53, dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6 petang hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Maran, Mohd. Nor Azhar Yusof berkata, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pahang dan ia disedari penduduk di situ.
“Orang awam membuat panggilan kepada pihak polis memaklumkan kejadian itu. Pihak polis telah membuka Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Jeti Chenor,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran menerima panggilan kejadian itu pada pukul 6.39 petang.
“BBP Maran dengan 10 orang anggota. termasuk ketua balai keluar ke lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira 40 kilometer.
“Pasukan bomba turut membawa sebuah LFRT, sebuah EMRS dan sebuah pacuan empat roda jenis Hilux serta sebuah bot,” katanya.
Menurutnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin sudah diminta bersedia untuk hadir ke lokasi kejadian. – UTUSAN