JOHOR BAHRU: Seorang guru sekolah agama didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi tujuh pertuduhan merogol dan amang seksual terhadap seorang pelajar pada akhir tahun lalu dan tahun ini.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Zulkarnain Mohd. Zin, 34, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Zulkarnain didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun pada 2023 dan 15 tahun pada tahun ini.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik stor sebuah sekolah agama di Skudai, di sini pada pukul 3.30 petang hingga 4.30 petang antara Disember 2023 hingga Ogos tahun ini.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Tertuduh yang sudah berkahwin turut didakwa di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin memaklumkan kesalahan itu tidak dibenarkan jamin, namun jika mahkamah ingin mengguna budi bicara, beliau mencadangkan jaminan berjumlah RM60,000 atas semua pertuduhan.
Peguam bela tertuduh, Iskandar Shah Ibrahim bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan jumlah RM30,000.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin, selain tidak boleh mengganggu mangsa, perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.