Graduan TVET bakal nikmati peluang pekerjaan yang luas

Graduan TVET bakal nikmati peluang pekerjaan yang luas

ZULEAH Darsong (tengah) ketika melakukan lawatan ke reruai motosikal sempena Program Santun Madani (Satu Pemimpin, Satu Kampung) di Dewan Semai Bakti, Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor. – IHSAN/Jabatan Pembangunan Kemahiran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KUBU BHARU: Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bakal menikmati kebolehpasaran yang lebih tinggi ekoran industri kini sedang ‘dahagakan’ mereka untuk memenuhi keperluan industri.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Zuleah Darsong berkata, industri mengingini graduan TVET kerana kumpulan pelajar itu dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan teknikal yang membantu pelajar dalam alam pekerjaan.

Kata beliau, kemahiran-kemahiran yang terdapat dalam graduan TVET adalah sangat memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah.

Zuleah Darsong

“Selain itu, dengan menyediakan pelajar dengan kemahiran yang boleh dipasarkan, TVET akan membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih stabil dan berpendapatan baik. Ini seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka termasuk keluarga.

“Malah, kemahiran diperoleh bukan sahaja membantu mereka mempromosikan diri tetapi turut boleh digunakan untuk memulakan perniagaan sendiri sekiranya berminat. Ini sekali gus boleh membawa kepada kebebasan kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau ditemui ketika merasmikan Program Santun Madani di Dewan Semai Bakti, Felda Soeharto, di sini, baru-baru ini.

Kebolehpasaran graduan TVET ini terbukti apabila sebanyak 92 peratus kumpulan pelajar lepasan Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia berjaya mendapatkan pekerjaan.

Malah, sebanyak 82 peratus daripadanya berjaya mendapatkan tempat di dalam bidang yang mereka pelajari.

Mengulas lanjut, Zuleah berkata, TVET juga menyediakan alternatif berharga kepada pendidikan akademik tradisional terutama pelajar yang lebih cenderung kepada pembelajaran praktikal.

“Ia memberi peluang kepada pelajar yang mungkin tidak berminat atau tidak mampu untuk mengikuti laluan pendidikan tinggi konvensional, tetapi masih ingin memperoleh kemahiran yang berharga dan berpeluang untuk berjaya dalam kerjaya mereka,” katanya.

Selain itu, jelasnya, TVET akan membantu graduan untuk terus meningkatkan kemahiran mereka sepanjang hayat.

“Ia menyediakan peluang kepada individu untuk meningkatkan kemahiran mereka atau mempelajari kemahiran baharu sepanjang kerjaya mereka.

“Ini adalah penting dalam dunia yang sentiasa berubah dan memerlukan kemahiran baharu dan terkini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN