PETALING JAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mengkaji perbelanjaan pengiklanan di media sosial antarabangsa sebaliknya mempertimbangkan sokongan terhadap media tempatan bagi memperkukuh dasar kerajaan dan sosioekonomi negara.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, perkara itu selaras dengan dasar dan polisi kerajaan yang bertujuan memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi negara.
“GLC boleh bertindak sebagai pendesak komersial untuk menggalakkan penyedia perkhidmatan media sosial dan internet mematuhi kod tatalaku yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperbaiki ekosistem digital.
“Kod tatalaku ini mengutamakan isu-isu kritikal seperti keselamatan kanak-kanak, pengawalan kandungan subversif, dan pencegahan elemen-elemen berbahaya seperti penipuan dan jenayah dalam talian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, pengendali media sosial Facebook dilaporkan meraih RM 2.5 bilion daripada rakyat Malaysia tahun lalu. Nirwandy berkata, pendekatan ini diharapkan dapat memastikan keseimbangan dari segi keselamatan media sosial dan memelihara kesejahteraan masyarakat, khususnya melalui usaha mencegah penyalahgunaan oleh pihak-pihak berkepentingan negatif.
Menurutnya, GLC boleh mempertimbangkan penubuhan konsortium yang menyokong pemilik agensi pengiklanan tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada platform antarabangsa.
“Walaupun media sosial kekal penting dalam strategi pengiklanan, GLC perlu mengutamakan pendekatan berorientasikan kepentingan negara demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Ismail Sualman berkata, penggunaan strategi konvergensi iaitu menggunakan pelbagai platform secara serentak dilihat baik untuk meningkatkan kesan komunikasi.
Katanya, namun media antarabangsa hanya efektif untuk meningkatkan kesedaran, manakala media tempatan lebih sesuai untuk mempengaruhi atau memberi maklumat yang lebih mendalam. – UTUSAN