GISBH: Tujuh kertas siasatan dibuka PDRM telah dituduh di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

GISBH: Tujuh kertas siasatan dibuka PDRM telah dituduh di Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun ada Sesi Pertanyaan Lisan Hari Ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak tujuh daripada 12 kertas siasatan yang dibuka oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) di negeri ini telah pun dituduh di mahkamah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, lima lagi kertas siasatan masih lagi menunggu arahan lanjut daripada pihak Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri menambah, kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) juga telah mengambil tindakan penutupan terhadap dua buah madrasah di bawah pentadbiran syarikat berkenaan yang masing-masing terletak di Ulu Beting, Kuala Pilah dan Kampung Senama, Rembau.

“Tindakan penutupan di bawah Seksyen 25C Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 telah dilaksanakan ke atas kedua-dua madrasah tersebut. Empat orang yang disyaki iaitu terdiri daripada pengerusi, mudir dan timbalan mudir madrasah juga telah ditahan.

“Penahanan dan siasatan terhadap orang yang disyaki tersebut adalah di bawah Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 iaitu atas kesalahan menubuhkan, mengurus atau mengendalikan sekolah Islam tanpa perakuan pendaftar serta Sesyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019 iaitu perbuatan ataupun ajaran salah,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian pada Sesi Pertanyaan Lisan (Hari Kedua) Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Bakri Sawir (PH- Klawang) berkenaan tindakan kerajaan negeri yang telah dan akan diambil untuk mencegah ajaran Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan sesat termasuk terhadap pengikut GISBH.

Aminuddin dalam pada itu memaklumkan, kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Sembilan juga telah mengambil tindakan berbincang dan membawa isu GISBH dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bilangan 27 Tahun 2024 pada September lalu.

“Berdasarkan hujah dan pandangan Ahli Majlis Jawatankuasa Fatwa tersebut bersetuju memutuskan ajaran yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd. Ali iaitu pemimpin GISBH adalah sama dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa mengenai Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan.

“Muzakarah juga menegaskan bahawa ajaran al-Arqam yang diwartakan sesat pada 2016 boleh dijadikan asas kepada penguatkuasaan ke atas sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam ataupun seumpamanya walaupun atas nama yang berlainan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya