GISBH: Timbalan mudir madrasah tidak mengaku salah ajar tanpa tauliah

GISBH: Timbalan mudir madrasah tidak mengaku salah ajar tanpa tauliah

MUHAMMAD Ghazalyi Othman hadir di Mahkamah Rendah Syariah Rembau hari ini bagi didakwa atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah di sebuah madrasah di Rembau bermula penghujung tahun 2022 sehingga September lalu.-UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang timbalan mudir sebuah madrasah yang dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd. di Kampung Senama Hilir di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah, Rembau hari ini, atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah.

Tertuduh, Muhammad Ghazalyi Othman, 54, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Bicara, Nurul Fadhlina Che Daud.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah mengajar agama Islam berkaitan tauhid dan tafsir kepada pelajar-pelajar di Madrasah Hayatul Islam, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Remaja Berwibawa di Kampung Senama Hilir.

Perbuatan itu dilakukan pada penghujung tahun 2022 hingga September 2024.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 53 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019 iaitu mengajar agama tanpa tauliah yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Bicara kemudiannya menetapkan bon jaminan RM2,500 dengan dua orang penjamin warganegara yang bermastautin di Negeri Sembilan.

Sebutan semula kes kemudiannya ditetapkan pada 16 Januari depan.

Kes dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Kanan, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azrul Izham Jaapar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selasa lalu, Muhammad Ghazalyi turut berdepan pendakwaan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban atasbmengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang merupakan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak di lokasi dan dalam tempoh yang sama.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.

Bagi kesalahan tersebut, Muhammad Ghazalyi didakwa di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah bakal disebut semula 4 Februari depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya