GISBH: Negeri Sembilan kekal rujuk pewartaan sesat al-Arqam pada 2016 - Utusan Malaysia

GISBH: Negeri Sembilan kekal rujuk pewartaan sesat al-Arqam pada 2016

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan mengambil pendirian untuk kekal merujuk kepada pewartaan sesat terhadap Penyelewengan al-Arqam pada 2016 terhadap ajaran dan kepercayaan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd. ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada keperluan untuk satu lagi fatwa dikeluarkan terhadap GISBH ketika kepercayaan mereka adalah sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang telah diwartakan sesat.

“Apabila mereka mahu menghidupkan semula Aurad Muhammadiah, jadi sesatlah. Sudah ada peraturan, buat apa untuk kita buat satu lagi peraturan, tetapi terpulang kepada negeri lain.

“Namun Negeri Sembilan, yang sedia ada itu telah mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Mufti Negeri Sembilan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badarudin dilaporkan berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bermesyuarat pada 28 September lalu telah mendapati ajaran dan kepercayaan GISBH adalah sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang telah diwartakan sesat di negeri ini pada tahun 2016.

Bagaimanapun menurutnya, buat masa ini jawatankuasa berkenaan belum memutuskan sama ada perlu dikeluarkan keputusan baharu atau sebaliknya kerana keputusan fatwa pada 2016 masih relevan untuk dikuatkuasakan bagi menangani ajaran GISBH.

Berkata kepada Utusan Malaysia, menurut Mohd. Faudzinaim, ajaran dan kepercayaan GISBH hanya mengulang kembali ajaran Al-Arqam dahulu iaitu mengenai Abuya Asyaari, Imam Mahdi, menggunakan Aurad Muhammadiah dan beberapa perkara lain yang telah difatwakan dahulu.

Sehingga kini, sebanyak enam buah negeri iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang telah ajaran, amalan, pegangan pemimpin serta ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sementara itu, Aminuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan negeri, meminta pengikut GISBH di negeri ini supaya mendaftarkan diri bagi mengikuti program rehabilitasi sukarela kepada mereka.

“Saya meminta pengikut GISBH yang mahu mengikuti pemulihan supaya mendaftar kepada jabatan agama dan pihak berkuasa bagi mengikuti program selama tiga bulan itu,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Baharuddin Ahmad berkata, pendaftaran program itu dibuka bermula 14 Oktober sehingga 14 November ini yang bertujuan supaya ahli dan pengikut GISBH kembali kepada ajaran Islam sebenar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya