TELUK INTAN: Persatuan Pelancongan Teluk Intan kecewa dengan kejadian menconteng permukaan jalan sebuah jambatan yang dilalui motosikal menghubungkan bandar Teluk Intan dan Kampung Bahagia di sini.
Laluan yang dikenali ‘jambatan besi kereta api’ atau dalam loghat daerah sebagaI ‘gerotak besi’ itu diconteng dengan pelbagai corak menggunakan cat dan polis sudah menahan seorang lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan tersebut.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Teluk Intan, Fong Seow Kai berkata, contengan itu mencemarkan jambatan itu yang menjadi tumpuan pelancong.
Menurutnya, contengan itu menjejaskan pemandangan jambatan itu yang selama ini dijaga kerana nilai sejarahnya yang tinggi.
“Contengan ini mencacatkan pemandangan jambatan ini, memang sudah tidak cantik disebabkan contengan ini.
“Kalau pelancong datang melawat jambatan ini, tentu mereka kecewa kerana jambatan tercemar dengan contengan yang tidak difahami.
“Jambatan kereta api lama atau ‘gerotak besi’ ini antara jambatan keretapi tertua di negara ini, jadi nilai warisan sejarahnya begitu tinggi, adalah merugikan jika ia dicemari dengan contengan sebegini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, jambatan itu menjadi antara destinasi dikunjungi pelancong di sini selain Menara Condong dan Pulau Burung.
“Pelancong suka datang ke sini kerana tempat ini cantik, pelancong suka bergambar di sini.
“Tapi sekarang tempat ini sudah tercemar buka sahaja kerana contengan ini tetapi di sini juga terdapat longgokan sampah.
“Ini sudah tentu akan menjejaskan imej pelancongan di sini. Kami berharap pihak kuasa dapat memadamkan contengan ini dan membersihkan sampah yang dibuang di kawasan ini,” katanya.
Kelmarin, polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai melakukan khianat dengan menconteng jambatan besi kereta api di Kampung Bahagia di sini .
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan oleh angggota Unit Rondaan Bermotor (URB) ketika sedang melakukan perbuatan tersebut sekitar pukul 10 malam.
Katanya, sebanyak empat tong cat pelbagai warna dirampas ketika tangkapan dijalankan ke atas suspek.
Hasil soal siasat awal, lelaki itu mengaku menconteng dengan lukisan bercorak di atas laluan jambatan berkenaan. – UTUSAN