RAUB: Gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) mula melanda Pahang apabila 99 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini apabila kediaman mereka di Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali dilanda banjir ekoran hujan lebat dan limpahan air Sungai Gali.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam kira-kira pukul 3.45 pagi hari ini memaklumkan berlaku kejadian banjir di dua kampung terbabit.
“Seramai 89 mangsa banjir daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Tok Machang yang dibuka pukul 4.30 pagi.
“Sementara itu, PPS Dewan Orang Ramai Ulu Gali yang dibuka pada pukul 6.30 pagi menempatkan seramai 10 mangsa daripada dua keluarga.
“Mangsa banjir diarahkan berpindah ke PPS berkenaan berikutan kediaman dimasuki air yang boleh menjejaskan keselamatan mereka,” katanya di sini hari ini.
Tambah sekretariat itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan mangsa ke PPS dan mengambil maklumat mangsa. – UTUSAN