TANAH MERAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan merampas sebanyak 8.534 tan minyak masak bersubsidi dipercayai akan diseludup ke negara Thailand selepas menahan sebuah lori dan dua buah kereta di Kampung Bukit Payong, Kelewek, di sini semalam.
Rampasan barangan kawalan berjumlah RM61,335 dilakukan pada pukul 11.45 pagi dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Kelantan Cawangan Pasir Mas dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan anggota bertugas berjaya mengesan sebuah lori jenis Isuzu yang disyaki membawa bahan mentah dari luar Kelantan untuk diseludup ke Thailand.
Menurutnya, setiba di Kampung Bukit Payong anggota bertugas melihat tiga lelaki sedang memunggah keluar minyak masak tersebut dari lori ke dalam dua buah kereta jenis Proton Waja.
“Penguat kuasa KPDN bersama anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor terus melakukan serbuan. Terkejut dengan kehadiran anggota penguat kuasa, dua pemandu kereta Proton Waja terus bertindak melarikan diri.
“Kita berjaya menahan pemandu lori berusia 33 tahun untuk tindakan dan siasatan lanjut. Pemeriksaan lanjut ke atas lori dan dua buah kereta itu membawa kepada penemuan minyak masak berjumlah RM61,335,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, hasil soal siasatan awal yang dilakukan suspek mengaku menerima upah sebanyak RM1,000 untuk setiap penghantaran minyak masak bersubsidi itu.
“KPDN Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut ke atas syarikat pembungkusan minyak masak dari Johor dan Negeri Sembilan berpandukan kepada barangan yang dirampas itu,” ujarnya.-UTUSAN