PUTRAJAYA: Karnival Kerjaya Madani yang dianjurkan sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama tiga hari bermula semalam sehingga Jumaat menawarkan 10,000 peluang pekerjaan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, FOI Putrajaya 2024 yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membuka peluang kepada pencari kerja khususnya dalam kalangan lepasan universiti, politeknik serta kolej komuniti.
“Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja. Jadi saya ingin menjemput orang ramai khususnya anak-anak muda yang baru keluar universiti, politeknik dan kolej komuniti untuk hadir.
“Ini kesempatan untuk kita datang dan meninjau atau mencari peluang-peluang yang ada sempena Festival Idea,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan program FOI Putrajaya 2024 di PICC semalam.
Zambry menjangkakan kira-kira 250,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari program itu berlangsung.
Beliau juga yakin sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan pengisian-pengisian program menarik yang ditawarkan termasuk 10,000 peluang pekerjaan.
“Kita jangkakan sekitar 250,000 pengunjung yang akan datang tapi dengan perkembangan-perkembangan terkini, saya jangkakan mungkin lebih dari itu,” katanya.
Selain forum keilmuan, FOI Putrajaya 2024 turut membawa pelbagai pameran produk inovasi dan penyelidikan IPT, kisah kejayaan Idea Malaysia, program silang budaya melibatkan pelajar tempatan dan antarabangsa serta perkongsian mengenai isu semasa.
Sementara itu, para pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) diingatkan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar terutamanya rekreasi air susulan fenomena Monsun Timur Laut (MTL).
Zambry berkata, pihaknya menyerahkan kepada pengurusan IPT masing-masing bagi membuat pertimbangan dalam mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan sepanjang musim tersebut.
“Saya ingin mengingatkan semua, ketika musim tengkujuh ini khususnya (pusat pengajian) yang terletak di kawasan Pantai Timur, langkah-langkah (berjaga-jaga) hendaklah dibuat di peringkat IPT termasuk politeknik dan kolej komuniti.
“Selain langkah-langkah yang diambil oleh pihak institusin, kita juga menasihati para pelajar supaya mengambil langkah perlu. Saya harap ia tidak akan menimbulkan masalah dalam kalangan mereka nanti sepanjang musim ini,” katanya.