Fitnah: Mufti Perlis saman pengguna Facebook RM10 juta

Fitnah: Mufti Perlis saman pengguna Facebook RM10 juta

MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin telah memfailkan saman terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa memfitnahnya berhubung isu GlSB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Faizal Rahman & Co. pada 10 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Mohr. Nawawi Abdul Razak selaku defendan tunggal.

Sesalinan dokumen terbabit diperoleh media lewat petang tadi.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, Mohd. Asri mendakwa defendan telah menerbitkan beberapa komen berbaur fitnah menggunakan akaun Facrbook miliknya ‘Mohd Nawawi Abdul Razak’.

Komen-komen berbaur fitnah itu dibuat bagi membalas hantaran (posting) yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook ‘Kayrollz Nasri’ pada penghujung September lalu.

Tambah plaintif, komen-komen yang dibuat jelas merujuk kepada dirinya kerana ia turut memaparkan gambar dirinya dan membuat rujukan terhadap ‘Maza’ yang merupakan panggilan buat Mufti Perlis itu.

Plaintif mendakwa penyataan-penyataan berbaur fitnah itu diterbitkan dengan niat untuk menghina, memalukan dan mendedahkan Mohd. Asri terhadap kecaman masyarakat.

Tindakan Mohd. Nawawi menerbitkan penyataan berbaur fitnah itu beserta gambarnya juga seolah-olah mengaitkannya dengan ajaran atau fahaman sesat yang diamalkan oleh GISBH.

Ekoran itu, plaintif mendakwa dirinya telah dikritik dan dicemuh oleh orang awam sekaligus menjatuhkan maruah dan kredibilitinya sebagai seorang mufti.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon ganti rugi am yang akan ditaksirkan kemudian oleh Mahkamah.

Mohd. Asri turut memohon ganti rugi teladan dan teruk sebanyak RM10 juta.

Mufti itu juga menuntut defendan membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di beberapa akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia, akaun Facebook Mohd. Nawawi dan mana-mana laman sosial yang dimiliki lelaki itu selama 30 hari.

Turut dimohon ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan dan mana-mana ejennya daripada mengulangi pernyataan berbaur fitnah itu serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN