PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Festival Idea Putrajaya (FOI) mampu menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan anak muda.
Perdana Menteri berkata, idea amat penting dalam membangunkan negara seperti mana yang diungkapkan dalam kerangka besar Malaysia Madani.
“Idea boleh bercambah, boleh berkecamuk, sebab itu penerimaan idea, kupasan idea sangat penting. Ini bermakna idea yang kita bicara adalah kerangka besar yang mempertahankan nilai murni termasuk kemanusiaan dan kebaikan.
“Negara harus membangun, membangun dengan idea, kita ungkapkan dalam kerangka besar Madani, maknanya idea pembaharuan, ada yang mengakar ke bumi iaitu jati diri bangsa, nilai, budaya, bahasa, keyakinan dan kepercayaan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya di sini, hari ini.
Anwar berkata, idea yang diungkapkan dan dimasukkan dalam Madani bermakna ia relevan dengan pemikiran dan kehidupan kerana kemampananannya tidak memberi makna kalau tidak diasaskan dengan keyakinan kepada agama, erti kehidupan, kemanusiaan serta nilai luhur.
“Sebab itu idea mesti dipelopori dengan keyakinan dan seperti yang saya selalu ungkapkan, menggapai ke langit sebab kita mahu maju, maka perlu (ada) matematik, kalkulus, digital, AI (kecerdasan buatan), perlu bicara soal tenaga baharu, ini memerlukan percambahan idea.
“Jadi festival ini boleh semarak pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti serta daya kritikal, apa lagi dalam kalangan anak muda kerana idea tanpa tindakan ibarat pohon tidak berbuah dan idea yang dicetuskan harus tercerna dari hati nurani yang baik,” katanya. – UTUSAN