KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dicadang diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) agar dapat bergerak seiring bersama agensi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad).
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd. Isa Mohd Isam berkata, penyeragaman tiga agensi utama yang menjadi tunjang ekonomi masyarakat luar bandar perlu dilakukan supaya gerak kerja untuk memperkukuhkan sektor sawit dan getah dapat berjalan dengan lebih berkesan kerana adanya pemusatan dari segi pentadbiran.
Jelasnya, perancangan dan hala tuju kerajaan mengenai masa depan Felda menjadi tanda tanya sejak agensi tersebut diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.
“Sebelum ini, pelbagai jenis bantuan tersedia untuk semua peneroka Felda. Kini, keadaan tersebut langsung berubah. Hanya sebilangan kecil sahaja yang layak untuk memanfaatkan sesetengah bantuan dan terdapat juga bantuan yang terpaksa dimansuhkan.
“Keadaan kewangan Felda sememangnya memerlukan lonjakan baharu supaya dapat dipulihkan sepenuhnya bagi menjamin kestabilan yang berpanjangan,” katanya pada sesi Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Isa berkata, tanah yang dipajakkan kepada FGV Holdings Berhad (FGV) perlu diambil alih semula kerana pulangan kepada Felda kerana ia tidak lagi pulangan yang baik.
“Tanah seluas 350,733 hektar yang dipajakkan kepada FGV mesti diambil alih semula kerana pulangan kepada FELDA iaitu 248 juta ringgit dan 15 peratus hasil daripada keuntungan tanah yang dipajak sudah tidak lagi berbaloi.
“FGV ini tiada roh perjuangan asal Felda. FGV ini memerlukan sentuhan Felda. Sebelum peneroka terus menjadi mangsa keadaan, kerajaan hendaklah mencari jalan dan memastikan jawatan-jawatan penting di FGV mesti datangnya dari Felda,” tegasnya.