Exco gagal berfungsi perlu ditukar - Abu Bakar - Utusan Malaysia

Exco gagal berfungsi perlu ditukar – Abu Bakar

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sekurang-kurangnya tiga Exco kerajaan negeri ini yang dilihat gagal memainkan peranan berkesan dalam membantu pentadbiran Menteri Besar perlu ditukar jika berlaku rombakan menjelang pelantikan semula jawatan berkenaan akhir November ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, rombakan barisan Exco itu perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik buat rakyat dan pembangunan negeri.

Katanya, terdapat beberapa Exco kerajaan negeri yang dilantik sebelum ini dilihat gagal mempamerkan prestasi cemerlang sehingga memberi kesan kepada pentadbiran negeri.

“Keadaan itu juga menyebabkan sebahagian portfolio yang disandang oleh Exco terlibat tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya.

“Apabila barisan Exco kurang menyerlah, keadaan tersebut secara tidak langsung akan turut memberi kesan kepada Menteri Besar dan sewajarnya rombakan dilakukan bagi memantapkan pentadbiran negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis mengulas mengenai prestasi barisan Exco kerajaan negeri ketika ini menjelang pelantikan semula jawatan itu pada akhir November ini.

Utusan Malaysia pada September lalu pernah melaporkan mengenai tuntutan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli agar barisan Exco kerajaan negeri lebih agresif dalam portfolio masing-masing selepas memasuki dua tahun pentadbiran kerajaan PN.

Tambah Abu Bakar yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berdasarkan pemerhatian beliau, terdapat dua ke tiga Exco kerajaan negeri perlu ditukar selepas gagal menonjolkan prestasi yang baik menerusi portfolio masing-masing.

“Rombakan ini perlu dilakukan bagi memastikan setiap agenda kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sebaiknya kepada rakyat. Jika rombakan barisan Exco kerajaan negeri tidak dilaksanakan, keadaan itu dibimbangi akan memberi kesan kepada PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak.

“Rakyat di negeri ini juga sedang menantikan setiap langkah yang dilaksanakan oleh PN khususnya dalam memberi keyakinan kepada mereka agar dapat memilih semula gabungan itu pada PRU16 nanti,” katanya.

Tambah beliau, pada masa ini adalah untuk PN bergerak serius kerana kita hanya berbaki beberapa tahun sahaja lagi sebelum PRU16.

“Jadi kita kena berikan perkhidmatan terbaik buat rakyat menerusi prestasi yang baik di dalam pentadbiran kerajaaan negeri seterusnya mendorong mereka untuk terus memberi kepercayaan kepada kerajaan PN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya