Elaun, latihan kemahiran galak bekas ahli GISBH pulih akidah - Utusan Malaysia

Elaun, latihan kemahiran galak bekas ahli GISBH pulih akidah

DR. ZULKIFLI HASAN-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Elaun harian dan latihan kemahiran diberikan kepada bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bagi meningkatkan jumlah yang hadir untuk memulihkan akidah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu dibuat berikutan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil maklum penyertaan bekas ahli GISBH yang sukarela untuk memulihkan akidah masih rendah.

“Kita sudah mempunyai modul yang komprehensif yang merangkumi aspek pendidikan, kewangan termasuk latihan kemahiran. Jumlah bekas ahli GISBH yang tampil itu masih rendah kerana ia bersifat sukarela.

“Namun begitu, daripada anak-anak yang masih berada di rumah perlindungan kita teruskan dengan program-program untuk memberikan persekolahan agar dapat mengikut ajaran Islam yang sebenar.

“Usaha yang telah dilakukan antaranya ada Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri telah menawarkan bantuan kewangan seperti elaun harian bukan sahaja kepada mereka tetapi kepada anak dan isteri mereka.

“Latihan kemahiran juga diberikan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup serta diberikan bantuan kewangan seperti mana diinisiatifkan oleh pihak berkuasa agama,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya mengenai usaha kerajaan untuk memanggil atau memujuk ahli GISBH untuk turut serta dalam program pemulihan yang dikendalikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jakim.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kerajaan tidak mengenakan kaedah paksa rela dalam program pemulihan akidah bagi bekas ahli GISBH yang tidak melakukan kesalahan jenayah.

“Sukarela itu bagi ahli GISBH yang tiada kesalahan jenayah atau tidak ditangkap. Manakala bagi mereka yang telah ditahan, maka mereka perlu melalui program pemulihan akidah secara khusus oleh polis, Penjara Malaysia dan Jakim.

“Selain itu, menerusi Pelan Rehabilitasi Pemulihan, ia mengikut tahap keseriusan dan kesesuaian. Maka dengan itu, tahap pemulihan kanak-kanak mengikut kesesuaian kanak-kanak seperti mana yang dimodulkan oleh Jakim,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang bertanya mengenai keperluan kaedah pemulihan akidah ditukarkan kepada paksa rela setelah difatwakan sesat selain meminta apakah perbezaan pemulihan akidah untuk kanak-kanak dan dewasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya