SEREMBAN: Taman Tasik Seremban yang merupakan antara taman rekreasi awam tertua di negara ini sememangnya mempunyai tempat istimewa dalam hati penduduk tempatan di bandar ini.
Sudah wujud sejak era kolonial British, taman rekreasi yang berada di tengah-tengah bandar Seremban ini melalui pelbagai perubahan dan tambah baik sama ada daripada segi landskap dan kemudahan sepanjang usianya.
Bagaimanapun, untuk kekal dengan fungsinya itu, Taman Tasik Seremban berdepan pelbagai masalah dan kerosakan termasuklah melibatkan tasik itu sendiri selain landskap dan treknya yang perlu sentiasa diselenggara.
Perkara itu turut diakui oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang memaklumkan masalah dasar tasik yang cetek akibat mendapan dan aliran air keluar yang terhalang antara isu yang dihadapi pihaknya dan perlu diselesaikan segera.
Jelas beliau, keadaan itu menyebabkan berlakunya limpahan air tasik sekali gus mendatangkan risiko kejadian banjir kilat di kawasan sekitarnya.
“Oleh itu, MBS ketika ini buat pertama kalinya menggunakan peruntukan menerusi Caj Pemajuan Negeri Sembilan bagi menambah baik Taman Tasik Seremban dengan antara skop kerja utamanya adalah untuk mendalamkan dan membuang mendapan serta segala halangan yang mengganggu aliran air di kolam tasik berkenaan.
“Itu isu utama yang dihadapi kerana setiap kali hujan lebat berlaku, air tasik akan melimpah keluar dan turut menjejaskan operasi perniagaan sebuah restoran makanan segera yang berada berdekatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau menjelaskan projek fasa pertama itu melibatkan kos sebanyak RM500,000 dan fasa seterusnya akan dilaksanakan pada tahun depan menggunakan peruntukan MBS sendiri.
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) perlu mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu kebersihan dan beberapa kerosakan kemudahan yang berlaku di Taman Tasik Seremban di sini.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, meminta MBS mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu kebersihan dan beberapa kerosakan kemudahan yang berlaku di Taman Tasik Seremban.
Katanya, Taman Tasik Seremban merupakan kawasan utama di tengah Bandar Seremban yang sering dikunjungi dan wajar ia sentiasa dijaga demi imej kepada Negeri Sembilan.