SHAH ALAM: Warga asing di negeri ini dikatakan sanggup mencari dan berkahwin dengan pasangan tempatan untuk digunakan bagi mendapatkan lesen perniagaan atau penjaja daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menggubal undang-undang pemberian lesen perniagaan kepada warga tempatan yagn berkahwin dengan warga asing bagi mengelak manipulasi tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri mengakui wujud cinta ‘olok-olok’ dalam kalangan mereka yang seterusnya menyukarkan penguatkuasaan oleh PBT terutama dalam membanteras penyalahgunaan lesen daripada warga asing.
“Kerjasama akan dilakukan dengan semua agensi dalam mencari pendekatan holistik berhubung perkara tersebut. Itu cinta olok-olok atau atau cinta cari peluang bagi gunakan perkahwinan untuk berniaga. Ini bukan cinta sejati.
“Memang wujud di lapangan dan kadang-kadang sukar hendak buat penguatkuasaan. Kita pergi ke sana (premis) nama isteri yang merupakan warga tempatan tetapi di belakangnya warga asing,” katanya pada sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi@ Azmi yang mngemukakan soalan tambahan sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menggubal enakmen bagi menangani gejala warga asing berkahwin dengan warga tempatan untuk mendapatkan lesen perniagaan.
Suee Lim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu, kemajuan ekonomi yang dicapai Malaysia dan Selangor khususnya menjadikannya sebagai lubuk emas di kalangan warga asing.
“Mereka suka datang dan senang cari nafkah hidup. Jadi, itu tarikan kepada mereka. Malah, (ada) warga asing pun sudah lama dan serasi dengan warga tempatan. Berkemungkinan ketampanan atau kekacakan menarik minat warga tempatan dan berkahwin mereka,” selorohnya.
Sebelum itu, beliau ketika menjawab pertanyaan asal daripada ADUN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad, menjelaskan, Suee Lim sebanyak 32 lesen perniagaan dibatalkan kerana menyalahgunakan lesen dengan menyewakannya kepada warga asing.
Katanya, ia melibatkan 16 lesen dibawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (lima) selain Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) masing-masing tiga serta dua lesen bagi Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS). – UTUSAN