SHAH ALAM: Rumah-rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang disewakan secara haram kepada orang lain sudah dikenal pasti untuk diambil tindakan termasuk mengambil kembali unit berkenaan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, unit-unit itu dikesan menerusi operasi bancian Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) pada Januari dan Februari lalu terhadap unit PPR yang dihuni bukan penama asal atau sewa atas sewa (sublet).
“Kadang-kadang mereka penyewa asal keluar dan beri kepada anaknya mungkin tanpa beritahu kepada pengurusan, ini berlakunya ‘sublet’.
“Ada juga tidak dapat dikesan kerana mereka tiada di rumah semasa bancian dilakukan. Kitau juga berpandukan kepada laporan daripada jiran-jiran yang menyatakan berlakunya sublet rumah tersebut,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, S. Preakas berkenaan status pemulihan perumahan PPR termasuk status pemutihan secara terperinci.
ADUN Tanjung Sepat itu menegaskan tindakan penamatan atau pemutihan diambil terhadap penyewa-penyewa unit tersebut termasuk sebanyak 29 notis dikeluarkan bagi kesalahan sublet di PPR Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini.
“Secara terperincinya, status pemulihan tersebut melibatkan 17 unit yang dikosongkan, pengakuan penama tinggal bersama (lima), tempoh pengosongan belum tamat (empat), pemotongan bekalan air atau dalam proses pindah keluar (dua) dan satu tawaran ke Skim Smart Sewa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak dua projek perumahan tersebut sedang dirancang kerajaan negeri bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membantu golongan B40 di Selangor menerusi projek PPR baharu.
“Ia melibatkan 200 unit di PPR Kampung Dato’ Ahmad Razali, Sepang dan PPR Harmoni Madani di Bestari Jaya, Kuala Selangor sebanyak 245 unit,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan menegaskan pemilikan rumah tidak akan selesai selagi wujud budaya pemilik rumah tidak bertanggungjawab yang membeli kediaman tersebut untuk disewakan. – UTUSAN