SHAH ALAM: Kerajaan negeri menggesa polis memaklumkan kepada umum perkembangan terkini siasatan kes jenayah melibatkan pemain kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim sejak enam bulan lalu.
Exco Pembangunan Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, sehingga kini status berhubung siasatan kes itu tidak diketahui walaupun Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San sudah mengutus surat kepada polis sebelum ini.
“Sehingga hari ini, kita masih belum ketahui status kes Faisal. Kali terakhir kita dimaklumkan (bahawa) Speaker sudah menulis surat kepada polis memaklumkan usul dipersetujui pada sidang dewan lepas.
“Kita minta siasatan menyeluruh dan dedahkan siasatan kes kepada khalayak tetapi kita tak (belum) terima maklum balas,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd. Shafie Ngah mengenai perkembangan terkini siasatan pihak berkuasa terhadap pemain kebangsaan itu.
Pada Julai lalu, DUN Selangor membuat usul tergempar mengecam perbuatan jenayah dan keganasan terhadap pemain yang mendapat julukan Mickey itu selepas usul itu dipersetujui wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dan dibahaskan lima ADUN.
Dalam kejadian 5 Mei lepas, Faisal mengalami lecur tahap empat di beberapa bahagian badannya selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.
Akibat kejadian berkenaan, pemain sayap itu mengalami lecur tahap empat dan menjalani beberapa pembedahan bagi menutup dan merawat anggota badannya yang mengalami lecur.
Terdahulu, Mohd. Najwan ketika menjawab pertanyaan daripada Mohd. Shafie mengenai bentuk bantuan yang diberikan kerajaan negeri kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 2020 hingga 2023, memberitahu kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM10 juta setiap tahun kepada pihak pengurusan FAS bagi tahun 2020 hingga 2023.
“Peruntukan tersebut disalurkan kepada pengurusan pasukan bolasepak negeri Selangor bagi memastikan kesinambungan program pembangunan bola sepak dan kegemilangan skuad Merah Kuning.
“Kesemua program pembangunan bola sepak ini melibatkan lebih dari 10,000 peserta seluruh negeri. Kerjasama rapat antara Selangor FC dan FAS diteruskan untuk memperkukuhkan struktur liga Selangor bagi menggalakkan penglibatan pemain muda dari seluruh daerah,” jelasnya. – UTUSAN