SHAH ALAM: Larangan penggunaan beg plastik yang sebelum ini dijalankan pada Sabtu akan dipertingkatkan kepada tiga hari termasuk Jumaat dan Ahad sebagai usaha untuk mengurangkan pembuangan bungkusan itu bermula tahun hadapan.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, beliau bercadang menguatkuasakan undang-undang tersebut selepas mengadakan pelbagai siri bengkel bagi mengenal pasti kelemahan dalam dasar dan penguatkuasaannya.
“Kita menjalankan kempen bebas plastik dengan mengenakan caj dalam beberapa tahun ini, tetapi harus juga diterangkan dalam tempoh tahun ini sebenarnya kita menjalankan beberapa bengkel kerana kita melihat terdapat beberapa kelemahan dari segi penguatkuasaan termasuk perundangan.
“Bengkel untuk kita memastikan dapat menguat dan memperketatkan undang-undang dan juga tindakan penguatkuasaan sebelum tahun hadapan, insya-Allah kita akan menambah jenis perundangan dan inisiatif termasuk kempen bebas beg plastik,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid yang membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan beg plastik dan straw serta bekas polisterin.
Tambah Jamaliah, pihaknya juga sedang mengenal pasti punca kuasa supaya ia dapat dilaksanakan dengan berkesan termasuk tindakan penguatkuasaan.
Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad yang membangkitkan isu kita semula sama ada kerajana bercadang untuk memperkenalkan lebih banyak inisiatif kitar semula atau program kebersihan komuniti.
Jelas Jamaliah, kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif kitar semula dan program kebersihan komuniti sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar serta membentuk masyarakat lebih bersih dan mampan.
“Mengadakan program pengasingan sampah yang mana penduduk perlu mengasingkan sampah organik dan bukan organik sebelum dibuang. Itu membant proses kitar semula yang lebih bersih dan efisien.
“Kempen kita semula barang elektronik (e-waste) dengan menyediakan tempat pengumpulan barangan tersebut yang tidak lagi digunakan seperti telefon bimbit, komputer, mesin pencetak dan sebagainya.
“Program kitar semula secara pintu ke pintu bersama syarikat makanan dan minuman, Nestle di lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Klang dan Kuala Langat yang sedang berjalan,” ujarnya. – UTUSAN