Kanak-kanak GISBH kembali kepada keluarga minggu ini

DUN Selangor: Kanak-kanak GISBH kembali kepada keluarga minggu ini

Kanak-kanak GISBH
MOHAMMAD Fahmi Ngah membentangkan perkembangan isu GISBH pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, di Wisma Dewan Negeri Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah kanak-kanak akan ditubuhkan bagi membolehkan mereka yang diselamatkan dalam operasi terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, berdasarkan siasatan terkini, kebanyakan kanak-kanak itu dijangka boleh kembali ke pangkuan keluarga mereka seawal minggu ini atau minggu hadapan.

Menurutnya, daripada keseluruhan kanak-kanak yang diselamatkan, hanya 10 atau 15 peratus terkesan dengan pegangan dan ideologi yang dibawa oleh GISBH.

“Buat masa ini, kita sudah menjalankan satu saringan yang lebih terperinci melihat kepada the degree of severity atau tahap keparahan anak-anak itu dengan pegangan mereka dan ideologi yang dibawa oleh GISBH.

“Akan ada satu mahkamah kanak-kanak akan ditubuhkan yang mana anak-anak tidak terkesan itu akan dipulangkan dengan syarat ibu bapa itu disahkan oleh polis bahawa mereka juga tidak berkesan.

“Tetapi, dalam perintah pelepasan nanti akan dimasukkan klausa yang mana anak-anak itu akan diberi kunjungan dan dilakukan beberapa pemeriksaan dan sekiranya kembali ke jalan asal akan kita panggil balik untuk kita pulihkan. Itu keadaan yang berlaku sekarang,” katanya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi serta soalan tambahan daripada ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid berkenaan isu GISBH.

Tambah Mohammad Fahmi, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menemubual kanak-kanak 12 hingga 17 tahun iaitu 266 orang di Selangor, 155 di Pulau Pinang, Johor (14) dan Negeri Sembilan (tiga).

Untuk rekod, tangkapan terhadap pemimpin dan pengikut GISBH dilakukan sejak 22 September lalu melibatkan seramai 288 terdiri daripada 41 lelaki dan 97 wanita selain 438 kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan JAIS turut mendapati hanya 100 pasangan berkaitan GISBH mempunyai rekod dalam Sistem Pengurusan Perkahwinan Malaysia dan sistem dalam talian lain daripada 231 yang mengaku sudah berkahwin.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengusahakan tindakan pemulihan ahli GISBH melibatkan dua kaedah iaitu secara sukarela dan perintah mahkamah.

“Bagi tindakan pemulihan terhadap ahli GISBH secara sukarela secara serah diri atau walk-in, atau melalui program rehabilitasi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bekerjasama dengan MKN dalam program itu selama 90 hari secara sukarela bermula 14 Oktober hingga 14 November lalu.

“Program rehabilitasi tersebut bertujuan memberi peluang kepada ahli GISH untuk bertaubat secara sukarela dan disantuni sebagai mangsa dan bukan sebagai pesalah. Peserta akan ditempatkan di rumah pemulihan MAIS yang terpilih,” jelasnya.

Katanya lagi, sehingga 7 November lalu, seramai 11 orang peserta ditempatkan di rumah tersebut dan melalui program pemulihan berpandukan Modul Istitabah MAIS selain latihan kemahiran bersesuaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya