SHAH ALAM: Perancangan pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor dikhuatiri menjadi projek yang membebankan apabila kerajaan negeri memperluaskan skop liputannya sehingga ke Negeri Sembilan berbanding fokus hubungan Utara Selangor-Shah Alam, sebelum ini.
Ia merupakan perubahan besar dalam perancangan tersebut walaupun masih diperingkat cadangan, namun dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan kos.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kerajaan negeri digesa menjelaskan keperluan perubahan jajaran tersebut apabila tiada sebarang peruntukan dikhususkan dalam Belanjawan Selangor 2025.
“Dengan skop yang diperluas, sudah tentu bukan sahaja kos projek meningkat dengan ketara malah kos perancangan dan masa juga akan meningkat. Berapakah kos terkini projek ini? Kerana di dalam belanjawan 2025 tidak menyebut sebarang kos perancangan mahupun perlaksanaan.
“Jika perancangan awal lebih kecil dan mampu memberikan manfaat kepada kami di utara Selangor, mengapa kini memilih perancangan yang lebih mahal tetapi kurang menyasarkan keperluan kami yang sangat kekurangan dari segi fasiliti pengangkutan berbanding di bandar,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2025, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2025 berjumlah RM3 bilion mengumumkan perancangan untuk memasuki kajian terhadap Projek Jajaran Rel Kita Selangor.
Jajaran tersebut, sebelum ini difokuskan kepada keterhubungan antara koridor Utara Selangor dengan Pusat Bandar Shah Alam dan seterusnya Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, Nurul Syazwani turut mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak menjadikan projek tersebut sekadar gah untuk didengari, namun akhirnya mengabaikan nasib rakyat di kawasan Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
“Persoalan yang lebih mendesak adalah, adakah kami di Utara Selangor patut bersedia untuk terus menjadi ‘penonton dalam showroom’ pembangunan kerajaan negeri?
“Kemudahan lain seperti Selangor Mobility juga dilihat sangat berpusat di kawasan bandar, seolah-olah memberi keutamaan hanya kepada kawasan yang sudah lengkap dengan infrastruktur.
“Lebih membimbangkan, peruntukan sebanyak RM20 juta untuk Bas Smart Selangor dan Demand Responsive Transit (DRT) nampaknya tidak menyeluruh, seolah-olah mengabaikan keperluan rakyat di kawasan utara Selangor,” tegasnya. – UTUSAN