SHAH ALAM: Dua isu berkaitan pemberian kontrak Demand Responsive Transit (DRT) dan Skim Insurans Am Selangor (Insan) mencetuskan kekecohan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor apabila ia dikatakan menimbulkan sangkaan buruk selain melanggar Peraturan Tetap Mesyuarat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2025 berkata, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han menjelaskan jika peruntukan diumumkan dalam belanjawan tersebut berjumlah RM20 juta akan diberikan kepada syarikat sama.
Menurutnya, DRT sebelum ini sudah dianugerahkan RM2 juta kepada kedua-dua syarikat berkenaan untuk melaksanakan proof of concept dan mempersoalkan jika ia dibuktikan berkesan atau tidak.
“Saya tanya kepada Kinrara adakah program DRT itu juga akan menggunakan proof of concept yang sama yang mana diberikan secara terus kepada syarikat-syarikat itu atas pretext kononnya syarikat itu sahajalah yang ada lesen itu.
“Lesen diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), di bawah Kementerian Pengangkutan yang mana menterinya daripada parti diwakili Sekinchan (DAP). Itu menterinya. Yang beri lesen kepada Asia Mobiltiy. Isterinya (adalah) menteri dalam Kabinet PH.
“Jadi, adakah peruntukan RM20 juta tahun hadapan diberikan kepada syarikat yang sama lagi dan kita hendak tahu adakah proof of concept itu benar-benar sudah terbukti, kalau tidak kita tukar nama parti, jadi ‘direct award party (DAP)’,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari
Malah, keadaan bertambah hangat apabila Dr. Afif kemudian membangkitkan isu Insan yang berstatus ‘tidak memuaskan’ berdasarkan laporan audit oleh kerajaan negeri yang dibentangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas (Selcat).
Beliau mendedahkan, menerusi laporan tersebut, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM21.74 juta yang dibayar kepada syarikat pengendali dan penyedia insurans, namun tuntutan dibuat hanyalah sebanyak RM954,000 sebelum mendakwa pembuat dasar sebagai korup.
“Selain itu, nama yang dilindungi juga tidak memenuhi kriteria kelayakan dan terdapat permohonan berganda dalam sistem yang disediakan.
“Saya ingat, ADUN-ADUN PH yang ada di depan saya pun tak berani hendak berkempen tentang Insan.
“Tak memuaskan, berapa kita hilang? RM21 juta, mana suara kawan-kawan semua yang ada di depan, mana suara anda semua. This is in your government, you use this during campaign semasa Pilihan Raya Negeri (PRN),” tegasnya.
Bagaimanapun, Speaker, Lau Weng San mengarahkan ucapan itu dikeluarkan daripada hansard dan perkataan ‘korup’ ditarik balik selepas ADUN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze membangkitkan Peraturan Mesyuarat Tetap 75 yang menegaskan persidangan Selcat masih belum berakhir dan laporan itu tidak dikemukakan penyatanya kepada dewan.
“Sefaham saya, pendengaran Selcat belum ditutup lagi dan mungkin ada saksi-saksi yang mana keterangan mereka akan bercanggah dengan yang telah dikemukakan.
“Jadi jawatankuasa pilihan seolah-olah duduk sebagai satu mahkamah dan kesemua ahli jawatankuasa pilihan sebagai hakim. Jadi, untuk menjaga keadilan itulah sebabnya wujud Peraturan Tetap 75,” jelasnya. – UTUSAN