SHAH ALAM: Siasatan terhadap insiden simbah asid yang dialami pemain penyerang pasukan Selangor FC, Faisal Halim diambil alih oleh pasukan khas polis dari Bukit Aman.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mohd. Kamri Kamaruddin berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berhubung surat yang diutus kepada beliau sebelum ini.
“Pejabat Dewan Negeri Selangor menerima maklum balas mengenai Usul 17(1) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor oleh Yang Berhormat Seri Serdang daripada Ketua Polis Selangor.
“Yang menyebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil serius terhadap penyiasatan kes itu, siasatan kes diambil alih oleh pasukan khas dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman yang mempunyai kepakaran dan peralatan bantuan yang lebih baik bagi mengenalpasti dan menangkap suspek’,” katanya dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis tidak menghentikan siasatan kes simbah asid membabitkan Faisal Halim yang dikenali dengan julukan ‘Mickey’ dekat sebuah pusat belah-belah di Kota Damansara, Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, sejak siasatan dibuka, pihaknya mengambil keterangan seramai 23 individu dan menahan tiga suspek bagi membantu siasatan.
Jelasnya, daripada tangkapan dilakukan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melakukan siasatan secara terperinci, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.
Terdahulu, akhbar ini turut melaporkan kerajaan negeri menggesa polis memaklumkan kepada umum perkembangan terkini siasatan kes jenayah melibatkan Faisal Halim yang juga pemain kebangsaan, sejak enam bulan lalu.
Exco Pembangunan Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, sehingga kini status berhubung siasatan kes itu tidak diketahui walaupun Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San sudah mengutus surat kepada polis sebelum ini. – UTUSAN